Tuesday, December 1, 2009

Tangguh sistem parkir berbayar, selesaikan dahulu masalah rakyat - GEMPUR

MEMORANDUM KEPADA:
Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar
Ketua Setiausaha Negara
Presiden Perbadanan Putrajaya

MENUNTUT PENANGGUHAN SISTEM PARKIR BERBAYAR DALAM KEJIRANAN PUTRAJAYA
Tuntutan kami agar:
  1. Penangguhan pelaksanaan Sistem Parkir Berbayar dalam kejiranan Putrajaya dan keutamaan diberikan terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah parkir sedia ada dan menyediakan kawasan parkir yang mencukupi bagi penduduk, kakitangan awam dan pelawat ke kawasan awam di persekitaran Putrajaya.
  2. Penyediaan kawasan parkir bertingkat dan mencukupi dilaksanakan terlebih dahulu menggunakan peruntukan Bajet 2010 dan peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RM ke-10) sebelum Sistem Parkir Berbayar ini dilaksanakan.
  3. Menuntut diadakan perbincangan antara Persatuan Penduduk, Persatuan Kebajikan Kakitangan Awam dan NGO dengan segera.
  4. Agar Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar melaksanakan segera satu kajian penambah baikan sistem parkir dengan mengambil kira populasi semasa, unjuran populasi dalam tempoh 5 tahun dan unjuran pelawat yang berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan.
  5. Keutamaan diberikan kepada keselesaan dan keselamatan penduduk dan kakitangan awam
  6. Agar kerajaan tidak meningkatkan lagi kos sara hidup dan bebanan yang ditanggung oleh rakyat baik di kalangan penduduk, rakyat dari seluruh negara yang berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan dan kakitangan awam.
  7. Sistem monorel dipercepatkan serta dilaksanakan terlebih dahulu.

    Daripada:
    Gerakan Bertindak Warga Muda Prihatin Putrajaya (GEMPUR), 30 November 2009

Latarbelakang:

Gerakan Bertindak Warga Muda Prihatin Putrajaya (GEMPUR) telah mendapat maklum bahawa Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Perbadanan Putrajaya telah memutuskan agar Sistem Parkir Berbayar dilaksanakan dan dijangka akan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2009. Alasan yang diberikan adalah untuk menggalakkan penggunaan “Park n Ride” bagi mengurangkan kesesakan di dalam Putrajaya.

Kami KESAL kerana;

  1. Keputusan ini dibuat secara terburu-buru tanpa perbincangan yang mendalam dengan persatuan-persatuan penduduk, pemimpin-pemimpin komuniti, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan-badan yang menjaga kebajikan kakitangan awam terlebih dahulu.
  2. Keputusan ini dibuat tanpa kajian menyeluruh tentang masalah parkir sedia ada dan keperluan parkir populasi semasa, unjuran populasi dalam tempoh 5 tahun yang akan datang dan juga jumlah pelawat yang berurusan di Putrajaya.
  3. Keputusan ini dibuat secara tergesa-gesa tanpa memikirkan peningkatan kos sara hidup warga Putrajaya, keadaan ekonomi dan inflasi semasa, soal keselesaan dan keselamatan penduduk, kakitangan awam dan pelawat di Putrajaya .
  4. Keputusan ini dibuat seolah-olah lebih mengutamakan keuntungan pihak tertentu berbanding tanggung jawab sosial dan kebajikan rakyat.

Kekesalan ini adalah bersandarkan kepada faktor-faktor berikut;

  1. Sistem Parkir Berbayar ini akan membebankan lagi rakyat dan pengundi Kawasan Parlimen Putrajaya terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,termasuk kakitangan sokongan. Majoriti penduduk Putrajaya adalah dari kalangan kakitangan awam dalam kategori ini dan di antara mereka tergolong dalam golongan miskin bandar. Kos sara hidup di Putrajaya sudah sedia maklum tinggi disebabkan oleh kos barangan keperluan seperti barang-barang di pasar dan harga makanan di medan selera yang relatifnya lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya. Anak-anak mereka juga tidak dikategorikan sebagai layak untuk memohon bantuan-bantuan yang diperuntukkan oleh kerajaan.
  2. Bagi golongan kakitangan awam, kebanyakan daripada mereka keluar pada waktu tengah hari untuk mengambil anak-anak di sekolah kerana ketiadaan sistem bas sekolah yang lebih selamat untuk anak-anak kecil dibenarkan beroperasi dan mereka juga mengambil kesempatan makan tengah hari di rumah bagi mengurangkan kos sara hidup.
  3. Sistem Parking Berbayar ini memberi kesan negatif dan mendalam terhadap golongan rakyat yang miskin dan berpendapatan sederhana juga pada waktu yang sama bersifat “double-standard” kepada golongan pegawai atasan yang disediakan kemudahan parkir di kementerian masing-masing serta kemudahan pemandu persendirian.
  4. Jumlah parkir di dalam kejiranan Putrajaya MEMANG tidak mencukupi dan tindakan perlu diambil segera untuk menyelesaikan masalah ini dan diberi keutamaan yang tinggi terlebih dahulu dan bukannya melaksanakan Sistem Parkir Berbayar.
  5. Sistem Parkir Berbayar akan membebankan golongan rakyat yang miskin dan berpendapatan sederhana yang datang untuk berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan di Putrajaya.
  6. Sistem Parkir Berbayar dan `Park n Ride’ akan membebankan golongan pesara, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu bapa dengan anak-anak kecil berurusan di pejabat-pejabat kerajaan dan bagi ibu-ibu yang menghantar anak ke taska di kementerian-kementerian.
  7. Kumpulan pegawai atasan yang membuat keputusan ini tidak merasai kesulitan dan kesukaran akibat pelaksanaan sistem ini kerana mereka sendiri tidak menghuni di dalam Putrajaya dan mereka mempunyai kemudahan parkir dan pemandu persendirian.
  8. Seharusnya kempen kesedaran penggunaan “Park n Ride” dibuat dengan lebih agresif dan diuji keberkesanannya terlebih dahulu oleh Perbadanan Putrajaya. Walaupun kekerapan bas yang tinggi dan terlalu banyak lampu isyarat akan tetap mengakibatkan kelewatan ke tempat kerja dan urusan pejabat-pejabat kerajaan.
  9. Keputusan yang terburu-buru dan tidak mesra rakyat ini akan mengurangkan lagi sokongan kepada kerajaan. Perlu diingat bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu sokongan pengundi, terutamanya kakitangan kerajaan di dalam Parlimen Putrajaya terhadap pembangkang telah meningkat dengan amat signifikan akibat dasar kerajaan yang tidak menguntungkan mereka.

Berita mengenai penyerahan memorandum ini disiarkan di Utusan Malaysia, 30 November 2009, "Tangguh parkir berbayar"; New Straits Times dan Sinar Harian.